Penerangan Kesidang putih

Bunga kesidang dari dekatKelopak kesidang atau kerak nasi berwarna putih

Kesidang putih ialah sejenis tumbuhan pemanjat dengan batang kecil berkayu keras dan mudah lentur. Sifat batang yang mengembang pada bahagian hujung ini menyebabkan ia menjadi pilihan sebagai tanaman untuk menghias junjung atau para di taman. Kesidang putih boleh dipangkas untuk membentuk renek yang merimbun. Kesidang mengeluarkan getah yang berwarna putih ketika dipetik.[3] Ia boleh tumbuh setinggi 2-3 m dengan daun berkilat, berbentuk runcing berpasangan.[4]

Bunganya yang putih bersaiz kecil dan menerbitkan bau wangi seakan-akan daun pandan terutamanya pada waktu petang. Pokok ini dipanggil "kerak nasi" di Utara Semenanjung, bukan hanya lantaran warnanya yang putih dan bentuk jambak bunga yang terlerai, tetapi baunya juga yang dikatakan menyamai bau nasi.[3] Suatu kajian telah dilakukan oleh sebuah universiti di Chiang Mai, Thailand untuk mengenal pasti bau nasi yang terdapat pada bunga kesidang.[perlu rujukan]